Seorang lelaki OKU cedera dikelar seorang lelaki di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Kluang Barat, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) cedera dikelar seorang lelaki dengan menggunakan pisau lipat di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Kluang Barat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.50 petang.

“Mangsa merupakan seorang lelaki OKU berusia 32 tahun kemudian dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan di bahagian leher.

“Susulan itu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menangkap suspek yang berusia 45 tahun berhampiran stesen minyak di Taman Bersatu pada pukul 6.17 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil soal siasat suspek mengaku mengelar mangsa menggunakan pisau lipat.

“Mangsa yang merupakan OKU berusia 32 tahun kemudian dikelar suspek sehingga menyebabkan luka panjang di leher sebelah kiri dan di bahagian hadapan kanan leher,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke zon merah HEBHK di sini dan menjalani pembedahan kecil malam tadi.

Jelasnya, mangsa yang cacat fizikal pada bahagian kaki kini dilaporkan stabil.

Bahrin memberitahu, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan semakan mendapatinya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang menerusi talian 07-778422, direct line 07-7784256 atau tablet DCC 014-3656822. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here