Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR –  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyambut baik pengumuman pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani melibatkan pemilik kenderaan persendirian individu, petani dan pekebun kecil komoditi.

Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel di Semenanjung Malaysia.

Berikutan daripada pengumuman tersebut, JAKOA memaklumkan bantuan subsidi bahan api diesel kepada masyarakat Orang Asli juga akan disalurkan bermula pada 30 Jun lalu berdasarkan permohonan tuntutan mereka.

“Bagi memastikan tidak berlaku ketirisan, pihak JAKOA akan memperkemaskan proses permohonan melalui bantuan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah (PKOAD) yang akan turun padang agar tiada keciciran berlaku dikalangan Orang Asli yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan itu akan membantu meringankan beban kos bahan api yang ditanggung oleh masyarakat Orang Asli dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka.

Bantuan ini turut meliputi mereka yang tidak termasuk dalam kategori BUDI AgriKomoditi dan BUDI Individu.

“Mengambil kira kekangan dan rintangan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman, JAKOA akan memperhalusi mekanisme pembayaran bantuan serta menjadi agensi pemudahcara supaya proses tersebut dapat dilaksanakan dengan
lancar,” katanya dalam kenyataan.

JAKOA sentiasa komited dalam membantu masyarakat Orang Asli dan berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup mereka. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here