NIBONG TEBAL – Kebanyakan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sudah membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ada segelintir pengundi yang membuat keputusan berdasarkan manifesto calon namun ada juga yang menekankan pemilihan dibuat dari segi keperibadian serta cara calon mendekati mereka.
Menurut Amirul Naim Shamsul, 26, calon yang dapat menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk sejak empat tahun lalu akan menjadi keutamaan pada hari mengundi 6 Julai ini.
“Kalau boleh nak calon yang boleh selesaikan masalah air ini kerana sudah empat tahun kamu hadap masalah itu sekali gus menyukarkan kehidupan harian.
“Saya juga berharap apa yang dijanjikan dalam manifesto itu dilaksanakan calon sebaik diangkat sebagai wakil rakyat nanti, jangan bila nak mengundi pula baru nampak,” katanya sambil menambah ini merupakan kali kedua di mengundi bagi DUN Sungai Bakap.
Turut meluahkan pandangan sama, Nur Shatila Wan Chik, 34, berkata, dia memilih calon wakil rakyat yang boleh membawa perubahan di Sungai Bakap khsususnya berkaitan isu air.
“InsyaAllah saya dah pilih (wakil rakyat).. mungkin juga saya lihat manifesto tapi lebih kepada siapa yang boleh bawa perubahan untuk Sungai Bakap.
“Meskipun hanya seorang calon yang sudah umum manifesto.. InsyaAllah saya sudah buat pilihan,” katanya.
Sementara itu, Latifah Ibrahim, 64, berkata, dia tidak mengambil peduli soal manifesto calon kerana apa yang dijanjikan tidak semestinya dapat ditunaikan dalam penggal sama.
“Saya sudah ada calon pilihan.. bukan tunggu manifesto baru nak buat pilihan ini kerana kita faham sesuatu projek diumumkan makan masa untuk laksanakanya.
“Boleh jadi hari ini dia (calon) janji tapi tak sempat selesai disambung orang yang dipilih selepas itu cuma apa kita mahu penambahbaikan di Sungai Bakap dibuat secara berterusan,” katanya.
Bagi Jaafar Ramli, 67, yang sudah mengundi lebih 10 kali bagi DUN Sungai Bakap berkata, pertimbangan pemilihan wakil rakyat itu telah dibuat dan calon yang mudah didekati rakyat akan menjadi pilihan.
“Saya sudah bersedia untuk mengundi dan dari segi pemilihan calon, saya pertimbangkan dua-dua calon yang mana ok kita akan pangkah.
“Kalau nak fokus janji (manifesto) itu tengok kadang ada yang tak betul jadi kita pilihan depa (calon) hang boleh berkhidmat untuk rakyat atau senang nak didekati,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette