Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Penurunan harga telur sebanyak tiga sen sebiji dan penurunan tarif elektrik bukan kediaman tidak memberi kesan signifikan kepada rangsangan ekonomi negara.

Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, rakyat memerlukan pakej pemulihan ekonomi yang lengkap dan menyeluruh bukan diskaun bermusim di pusat beli-belah.

“Kerajaan mesti berhenti memberikan bantuan kecil untuk memuaskan hati rakyat. Kenaikan harga yang berterusan memberi tekanan kepada keluarga di Malaysia tetapi kerajaan tidak mengendahkannya.

“Nampaknya kerajaan tidak belajar daripada pelan diesel bersasar. Mereka beranggapan dengan menurunkan tarif sebanyak satu sen setiap kwj untuk pengguna komersial dan industri dapat menyelesaikan masalah serta membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini adalah pandangan yang tidak realistik dan lucu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic mengingatkan Kerajaan Perpaduan agar tidak beranggapan dengan menurunkan harga telur dan tarif elektrik bukan kediaman, mereka akan mendapat sokongan rakyat.

Sebarang dasar harus dilakukan kajian menyeluruh terlebih dahulu bagi memastikan ia meliputi semua kategori atau sektor yang memerlukan bantuan supaya masalah akar umbi dapat diselesaikan.

Jelasnya,selagi kos operasi perniagaan terus meningkat, harga barang akan terkesan.

Dengan memberikan contoh, Dominic berkata, sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membayar bil elektrik sebanyak RM55,000 sebulan hanya akan menjimatkan RM1,000 dengan tarif baharu.

“Bagaimana angka ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat?” soalnya.

Terdahulu, Dominic yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Pulau Pinang dalam kenyataannya semalam mengecam Kerajaan Perpaduan dengan menyindir bermungkinan Kementerian Kewangan berharap setiap keluarga boleh makan telur lebih kerap kerana harga telur telah diturunkan dan dengan itu mereka dapat berjimat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan mengabaikan hakikat bahawa industri kecil dan sederhana (IKS) masih beroperasi dalam persekitaran yang mencabar.

Tambahnya, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi dan prospek inflasi yang tidak menentu, kos tambahan yang tinggi akan menjadikan PKS sukar untuk kekal berdaya saing dalam jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Dominic berkata, seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan RM6.98 bilion dari akaun fleksibel (Akaun 3) yang menunjukkan bahawa rakyat masih hidup dalam keadaan tertekan.

Beliau bimbang angka tersebut  akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan dating dan ini mencerminkan tekanan kewangan yang dihadapi rakyat sehingga terpaksa mengeluarkan simpanan persaraan awal.

“Ini adalah trend yang membimbangkan. Rujukan kepada kajian baru-baru ini mendapati 26.1 peratus ahli KWSP berusia 60 tahun ke atas menyatakan bahawa mereka memilih untuk terus bekerja bagi memenuhi keperluan selepas bersara.

“Ini adalah fakta yang memerlukan tindakan segera kerajaan untuk menangani dan menyelesaikan masalah kos sara hidup, bukannya hanya bermain dengan kata-kata tanpa tindakan nyata,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast