Pestabola Merdeka 2024 akan berlangsung pada September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Pertandingan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 secara rasminya akan dilangsungkan pada 2 hingga 10 September depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.

Selain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon yang kini berkedudukan ranking ke-135 dunia, tiga lagi pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka pada pertandingan yang memasuki edisi ke-43 pada kali ini.

Tiga lagi pasukan yang bakal memeriahkan edisi kali ini adalah juara bertahan musim lalu Tajikistan yang kini berada di ranking ke-102 dunia, Lebanon (117) dan Filipina (147).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, empat pasukan ini akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu separuh akhir 1 dan 2, disusuli perlawanan kedua iaitu final yang menemukan pemenang separuh akhir 1 dan 2 serta penentuan tempat ketiga di antara dua pasukan yang kalah pada separuh akhir 1 dan 2.

“Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu 2023,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat sama-sama memeriahkan lagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 dengan hadir ke Stadium Nasional memandangkan edisi kali ini berlangsung ketika sambutan bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September depan.

Pada edisi Ke-42 tahun lalu yang turut berlangsung di Stadium Nasional, skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan India 4-2 pada separuh akhir pada 13 Oktober lalu, sekadar muncul naib juara selepas tewas 2-0 kepada Tajikistan pada Final yang berlangsung pada 17 Oktober lepas.

Terdahulu, Tajikistan yang merupakan pasukan pengganti selepas Lebanon menarik diri (kerana Lebanon dan Palestin telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027), layak ke Final secara ‘bye’ selepas lawan mereka di separuh akhir.

Palestin juga terpaksa menarik diri kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika itu.

“Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada separuh akhir, selain tarikh bagi Hari Perlawanan 1 untuk separuh akhir dan Hari Perlawanan 2 bagi Final dan Penentuan Tempat Ketiga turut akan ditetapkan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here