Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan membuka tempat ke matrikulasi kepada pelajar tanpa mengira kaum yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti diumumkan Perdana Menteri bukan kebimbangan sebenar dalam dunia pendidikan hari ini.

Sebaliknya Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerisauan sebenar adalah nasib lebih 280,000 pelajar yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit yang tercicir dan tidak layak memasuki matrikulasi.

Jelas beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, jumlah itu tidak termasuk 10,160 pelajar yang tidak menduduki SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 pelajar secara purata setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil SPM.

“Ramai risau bila PM umum semua lepasan SPM dengan 10A layak masuk Matrikulasi tanpa kira kaum, sedangkan beliau hanya memberikan jaminan yang sememangnya dilaksanakan sejak dulu lagi, bahkan kuota Bumiputera untuk masuk ke Pusat-Pusat Matrikulasi tetap kekal terjamin,” katanya menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook hari ini.

Sehubungan itu, tambah Asyraf Wajdi, jawapan atau penyelesaian kepada masalah pelajar yang tercicir daripada SPM itu ialah mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Jelas beliau, ia juga menjadi antara sebab mengapa Dasar TVET Negara diwujudkan dengan Majlis TVET Negara dipengerusikan sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Asyraf, dasar itu menyelaras sebanyak 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian yang menawarkan lebih 4,000 pelbagai bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

Malah, ujarnya, MARA sendiri mempunyai insitusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) serta UniKL.

“Hari ini, negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja.

“Malah, dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, pelajar boleh sambung peringkat diploma manakala SKM Tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM,” katanya. – MalaysiaGazzete

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here