Taufan Beryl kini dalam kategori 3.

BARBADOS – Lapangan terbang dan perniagaan telah ditutup dan penduduk di seluruh Caribbean telah digesa untuk mencari perlindungan apabila Taufan Beryl  melanda wilayah itu.

Taufan Beryl ketika ini bertiup dari daratan di Barbados telah mencetuskan amaran tentang angin yang mengancam nyawa dan ribut berbahaya.

Amaran taufan berkuat kuasa di Barbados, St Lucia, St Vincent dan Grenadines dan Tobago.

Puluhan penerbangan dibatalkan di seluruh wilayah ketika Taufan Beryl menghampiri pada malam Ahad, sementara para pemimpin menggesa orang ramai supaya mematuhi amaran.

“Ia bukan satu jenaka,” kata Perdana Menteri St Vincent dan Grenadines, Ralph Gonsalves, mengingatkan orang ramai tentang kemusnahan akibat taufan lampau di Caribbean.

Dalam ucapan kebangsaan dari kediaman rasminya, Gonsalves berkata, beliau juga berlindung di ruang bawah tanah kediamannya.

“Bumbungnya, pastinya bahagian bumbung lama, mungkin tidak tahan angin pada kelajuan 241 kilometer sejam (km/j). Saya sedang membuat persiapan untuk turun ke bawah,” katanya.

Kekuatan Taufan Beryl telah berubah-ubah, dinaik taraf kepada kategori empat lewat waktu tempatan hari Ahad tetapi anginnya agak berkurangan sejak itu apabila kekal maksimum menghampiri 195 km/j), menyebabkan penurunan taraf kepada kategori tiga.

National Hurricane Center untuk Atlantik berkata, turun naik dalam kekuatan angin mungkin berterusan tetapi memberi amaran bahawa bahagian Pulau Windward harus bersedia untuk “kerosakan angin yang berpotensi bencana”.

Ia berkata St Vincent dan Grenadines serta Grenada berada pada risiko kerosakan paling tinggi.

Tempat perlindungan taufan dibuka pada 6 petang waktu tempatan (22:00 GMT) pada hari Ahad. – Agensi