Ramanan pada program Vanakam Madani di Sungai Bakap semalam.

KUALA LUMPUR – Program Vanakam Madani  diilhamkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) bagi tujuan mendekati pengundi India namun ia tetap diteruskan sampai hari ini.

Usaha itu yang diasaskan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan itu ternyata membuahkan hasil apabila ramai dalam kalangan masyarakat India mulai menerima pelbagai hebahan disediakan kerajaan.

Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR memberitahu MalaysiaGazette, walaupun sibuk dengan tugas dengan kementerian selain sidang Parlimen tetapi beliau sempat untuk berkempen PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang ketika ini.

“Şama ada ketika musim pilihan raya atau sebaliknya kita akan teruskan inisiatif ini iaitu menyebarkan dan mendidik komuniti India khasnya tentang pelbagai peluang, usaha kerajaan dalam menaik taraf serta memperkasa kehidupan mereka daripada pelbagai aspek.

“Segelintir masyarakat masih lagi keliru dengan maklumat-maklumat palsu, tidak tepat dalam media sosial terutamanya yang berkaitan dengan manfaat tertentu yang disediakan kerajaan.

“Bila saya turun kawasan tertentu terutama di kawasan PRK, pengundi melahirkan rasa kecewa, marah dan tidak puas hati. Tetapi apabila anda terangkan kepada mereka ternyata approach itu sangat membantu mereka,” katanya.

Ramanan yang sempat mengadakan program ‘Sembang Santai Vanakam Madani’ bersama penduduk Sungai Bakap semalam terharu dengan kehadiran ramai penduduk di sana dan mereka mengambil peluang bertanya kepadanya dalam sesi tersebut.

“Semalam ramai juga dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan hadir juga membuktikan kita semua sehati sejiwa dalam memperkasakan komuniti ini tidak kira apa jua dakyah pihak sana. Rugi kalau asyik mahu berpolitik sahaja.

“Kita gunakan medan ‘Vanakam Madani’ ini dan jelajah seluruh Malaysia dengan tujuan sampaikan maklumat tepat dan berkepentingan bagi masyarakat India di negara ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here