Ibu kepada wanita yang maut ditikam suami di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah dua minggu lalu gagal menahan sebak tatkala melihat tertuduh Hairil Anaas Abdullah,37, dibawa keluar dari Lokap Mahkamah Majistret Batu Gajah, pada Isnin. Rozita Radzuan, 56 , yang berjalan dalam keadaan dipapah ahli keluarga melahirkan kata-kata kesal kepada menantunya yang bergari dan diiring pihak polis. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 JULAI 2024.

BATU GAJAH – Ibu kepada wanita yang maut ditikam suami di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah dua minggu lalu gagal menahan sebak tatkala melihat tertuduh dibawa keluar dari Lokap Mahkamah Majistret Batu Gajah, pada Isnin.

Rozita Radzuan, 56 , yang berjalan dalam keadaan dipapah ahli keluarga melahirkan kata-kata kesal kepada menantunya yang dalam keadaan bergari dan diiring pihak polis.

“Anaas  sampai hati sanggup kamu bunuh anak ibu. Nisya itu baik. 32 tahun ibu jaga anak ibu,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, tertuduh Hairil Anaas Abdullah,37, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh hingga menyebabkan dengan menyebabkan kematian terhadap Nisya Shahkila Shaharun, 32, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin kerana kes bunuh adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Pekan Batu Gajah antara jam 7.30 pagi hingga 2 petang, pada 20 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh, dan mahkamah menetapkan 9 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat, dan DNA (ujian asid deoksiribonukleik).

Ketika prosiding berlangsung, ia turut dihadiri ahli keluarga mangsa termasuk ibu yang mengenakan pakaian berwarna gelap.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut selepas dipercayai ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah bilik hotel di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau.

Suami mangsa kemudian bertindak menyerah diri ke Balai Polis Batu Gajah dan memaklumkan telah membunuh isterinya di bilik hotel.

Motif pembunuhan dipercayai kerana lelaki berkenaan tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan cerai menerusi fasakh walaupun telah dipujuk. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here