Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan kerajaan belum mempunyai cadangan untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belum ada sebarang kertas dasar dibawa ke Kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas bahan api tersebut.

“Setakat ini, belum ada kertas (cadangan) dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat.

“Ada kajian dari dulu, tetapi kerajaan fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik, diesel dan ayam.

“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Anwar (PH-Tambun) yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

Menjawab perkara itu, Anwar berkata, penyasaran semula subsidi bagi tujuan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya tidak boleh menolak sebarang kemungkinan, seluruh fokus kita sekarang ialah penyasaran subsidi diesel mana-mana kerajaan pun fikir begitu.

“Jangan putar belit, masa di sebelah sini (jadi kerajaan) semuanya sebut nak buat penyasaran subsidi Dawn disebut oleh semua Perdana Menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan kepada petrol RON95.

Rafizi bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here