Dr Anuar Ahmad. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu hak orang Melayu dan bumiputera dinafikan dalam keputusan kerajaan memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.

Ini kerana, menurut pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, pecahan kuota pelajar ke matrikulasi iaitu 90 peratus bumiputera dan 10 peratus kaum-kaum lain seperti yang mula dilaksanakan pada 2003 masih kekal.

Beliau yang juga pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM menambah, apa yang berbeza kini adalah bilangan pelajar yang layak ke matrikulasi sama ada kaum bumiputera atau kaum-kaum lain akan bertambah disebabkan pelajar cemerlang 10A layak secara terus untuk mengikuti kursus berkenaan.

“Jika berasaskan apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pecahan kuota pelajar itu adalah kekal cuma bilangan pelajar sahaja yang bertambah.

“Maka saya membayangkan jika bilangan 10 peratus kepada bukan bumiputera untuk ke matrikulasi bertambah, maka bilangan 90 peratus kepada bumiputera juga akan bertambah.

“Jadi, tidak timbul isu ada hak bumiputera yang diambil oleh bukan Bumiputera daripada dasar baharu kemasukan pelajar ke matrikulasi ini,” katanya kepada MalaysiaGazzete.

Tambah Anuar, disebabkan kemasukan pelajar ke matrikulasi kelak dijangka bertambah ekoran dasar baharu itu, beliau mencadangkan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan menambah baik kolej-kolej Tingkatan Enam untuk dijadikan cawangan matrikulasi.

Jelas beliau, langkah itu juga bagi membolehkan pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 7A ke atas tetapi daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan turut berpeluang mengikuti kursus matrikulasi.

“Pelajar dengan keputusan 7A, 8A dan 9A ini, mereka juga sebenarnya cemerlang, cuma mungkin persekitaran mereka tidak menyokong seperti pelajar-pelajar yang mendapat keputusan 10A.

“Mereka mungkin dari keluarga miskin atau tidak mengikuti kelas tambahan, jadi kita tidak boleh pinggirkan kumpulan ini dan jumlah pelajar ke matrikulasi boleh ditambah dengan diisi kumpulan-kumpulan pelajar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar  turut melihat keputusan kerajaan membenarkan pelajar bukan bumiputera dengan keputusan 10A layak secara terus ke matrikulasi sebagai satu cabaran kepada masyarakat bumiputera untuk lebih berdaya saing.

Jelas beliau, dengan keputusan itu, pelajar bumiputera tidak lagi boleh berasa selesa dan perlu berusaha lebih keras untuk memasuki matrikulasi secara jaminan iaitu dengan mencapai keputusan cemerlang 10A.

“Bagi saya, keputusan ini mempunyai kesan yang baik kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar Bumiputera yang mana mereka kini perlu ubah mindset serta sikap dan melihat ini sebagai sesuatu yang positif untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazzete

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here