Maritim Malaysia dan TLDM menahan kapal korek yang didaftarkan di Fuzhou, China.

 

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menahan
sebuah kapal korek pasir di kedudukan 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Perak sekitar pukul 3.10 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kapal korek pasir yang dinamakan Chuan Hong 68 itu didaftarkan di Fuzhou, China
telah dikesan bersauh oleh pasukan operasi kapal TLDM.

Hasil daripada maklumat tersebut, anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi di perairan negeri Perak telah diatur gerak ke lokasi berkenaan
bagi memeriksa kapal tersebut.

Kapal yang membawa 47 kru ditahan di Tanjung Hantu, Perak.

Pemeriksaan mendapati, kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 47 kru yang terdiri daripada 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan
seorang kru warga Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati kapal korek tersebut gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tidak mempunyai nama dalam senarai
nama kru kapal.

60 tong gas ditemui di dalam kapal korek yang ditahan Maritim Malaysia dan TLDM semalam.

Pemeriksaan lanjut juga menemukan 60 tong gas LPG memasak 14kg berwarna kuning tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM9,000.

Kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tiada dalam senarai nama kru kapal serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah bagi membawa barangan kawalan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here