PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan bekas tukang gunting rambut kerana membunuh anak asuhan isterinya dikenali sebagai Baby Zara pada November 2018.
Baby Zara atau nama sebenarnya, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal berusia 11 bulan ketika kejadian berlaku.
Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan hukuman mati terhadap Hazmi Majid.
Ketiga-tiga panel berpuas hati dengan hukuman itu kerana jenayah yang dilakukan oleh tertuduh dianggap kejam dengan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.
Selain itu, Baby Zara juga hanya seberat 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2021 telah menjatuhkan hukuman mati terhadap pelaku, kes itu kemudian dirayu tertuduh di Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu namun ditolak.
Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh bayi itu di sebuah unit di Bandar Baru Bangi antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari enam tahun lalu.
Ketika prosiding, peguam mewakili tertuduh, T Vijayandran merayu hukuman itu diringankan memandangkan anak guamnya bawah pengaruh dadah.
Namun hujah itu ditolak oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi memandangkan ada tindak tanduk oleh perayu cuba menghapuskan bukti seperti membasuh tuala dengan hilangkan darah. – MalaysiaGazette