Anggota JPJ memeriksa keadaan tayar sebuah bas pelancong ketika Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak. Foto SADIQ SANI, 2 JULAI 2024

GOMBAK – Sebanyak 22 bas persiaran dan bas ekspres diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Bersepadu Khas terhadap kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur -Karak pagi tadi.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi tertumpu kepada bas persiaran bas dan bas ekspres seperti arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam.

Ia rentetan daripada nahas maut bas persiaran yang mengakibatkan dua pelancong China maut semasa menuruni  bukit di Cameron Highlands baru-baru ini.

Menurut Muhammad Kifli, operasi bersepadu khas itu disertai kekuatan lebih kurang 70 orang pegawai dan anggota daripada keempat-empat agensi iaitu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bermula pukul 6 pagi tadi.

“Hasil daripada operasi selama tiga jam sehingga 9 pagi tadi, saya dengan dukacita memaklumkan kita telah dapat mengesan beberapa kesalahan kesalahan yang sangat serius tidak sepatutnya berlaku.

“Kita melakukan pemeriksaan ke atas sebanyak 22 bas persiaran dan ekspres sebelum mengesan dua pemandu  melakukan kesalahan iaitu tidak memiliki lesen memandu yang sah dan juga Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang merupakan satu kesalahan serius.

“Kita telah menyita sementara kedua-dua bas persiaran tersebut yang dipenuhi penumpang sementara menunggu pemandu gantian yang sah dihantar oleh syarikat pengendali bas tersebut.

“Namun pemandu baharu yang datang untuk salah sebuah bas persiaran disita iaitu abang kandung kepada pemandu asal pula didapati memiliki lesen memandu tamat tempoh.

“Bagaimanapun, pemandu ganti itu telah memperbaharui lesen memandunya serta merta dalam talian dan kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan sekitar pukul 9.30 pagi tadi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Muhammad Zulkifli Ma Hassan memeriksa keadaan sebuah bas pelancong pada Operasi Bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa Gombak. Foto SADIQ SANI, 2 JULAI 2024

Setiap bas persiaran dan ekpres ditahan oleh anggota penguat kuasa di Plaza Tol Gombak sebelum dibawa dengan bantuan anggota pengiring ke Stesen Pemeriksaan JPJ Gombak bagi tujuan pemeriksaan.

Dalam operasi sama, pihaknya juga menjalankan ujian air kencing ke atas 22 pemandu bas dan seorang daripadanya ditahan selepas disahkan positif ganja.

“Pemandu positif dadah berusia 30-an itu telah ditahan dan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi amaran keras kepada semua pemandu dan pengendali bas persiaran serta bas ekpres yang JPJ tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan penumpang bas di atas jalan raya.

Selain itu, dalam operasi sama pihaknya juga mengesan sebuah kenderaan van Thailand yang membawa pelancong asing tidak memiliki Permit Edaran Antarabangsa (ICP).

Manakala MOTAC juga berjaya mengenal pasti tiga bas persiaran melakukan kesalahan tidak menyediakan pemandu pelancong di dalam kenderaan yang juga merupakan satu kesalahan serius.

Muhammad Kifli dalam sidang media semasa Operasi Bersepadu Khas JPJ ke atas bas persiaran di Stesen Pemeriksaan JPJ Gombaak, Lebuhraya KL-Karak pagi hari ini.

Operasi bersepadu khas itu akan diadakan selama sebulan sehingga 31 Julai ini dan sekiranya dirasakan perlu ditambahkan tempoh itu akan dilanjutkan sehingga diputuskan oleh menteri.

“Ini bukan operasi bermusim.. kami akan buat operasi ini secara berterusan secara tegas di seluruh negara,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here