Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung.

POLEMIK politik melibatkan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mungkin menyaksikan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) di kesemua kerusi terbabit menunjukkan masih wujud kelompangan dalam akta atau undang-undang lompat parti.

Pensyarah Kanan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, ia dapat dilihat apabila pelbagai pemimpin politik khususnya keenam-enam ahli Parlimen terlibat bebas membuat tafsiran sendiri berhubung situasi mereka.

Ujar beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Akta Lompat Parti yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat adalah ketetapan yang jelas bukan bersifat subjektif.

“Polemik melibatkan ahli Parlimen Bersatu ini mendedahkan grey area (kelabu) dalam Akta Lompat Parti yang mana kelihatan seolah-olah interpretasi itu tertakluk kepada masing-masing.

“Sudah semestinya, akta ini memerlukan penambahbaikan dan diperbaiki bagi mengelakkan polemik politik seperti ini berulang pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.

Akta itu sebelum ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos tahun sama.

Pada 20 Jun lalu, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya dikosongkan berikutan pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen Bersatu berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sementara itu, Kuok Tiung berkata, pelbagai pihak ketika ini juga menunggu keputusan melibatkan keenam-enam ahli Parlimen Bersatu itu khususnya sama ada PRK bakal diadakan atau masih ada ruang dalam undang-undang yang boleh digunakan bagi mengelak PRK.

“Ini kerana apa-apa keputusan dalam isu ini akan menjadi precedent case (kes duluan) bagi polemik politik yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada PRK kerusi berkenaan adalah jalan penyelesaian terbaik, Kuok Tiung berkata, fokus utama ketika ini sepatutnya menjurus kepada penambahbaikan Akta Lompat Parti bukan desakan untuk diadakan PRK.

“Sudah pastinya parti pemerintah sekiranya boleh ingin mengelak PRK kerana berdepan risiko berkurangan sokongan manakala bagi Bersatu, ia berkait dengan maruah mereka serta apa yang betul dan tidak sepatutnya,” katanya. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast