Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Plastik menunjukkan rampasan dadah jenis Syabu anggaran berat 57,636.47 gram, heroin anggaran berat 4,496 gram dan ganja anggaran berat 26,250 gram yang berharga hampir RM1.9 juta ketika sidang media di IPK Selangor, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 02 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Polis merampas dadah jenis syabu, ganja dan heroin bernilai RM1,968,942 selepas menumpaskan tiga sindiket di Lembah Klang pada 27 Jun hingga 1 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan dadah jenis syabu, ganja dan heroin masing-masing dianggarkan seberat 57,636.47 gram, 26,250 gram dan 4,496 gram berjumlah 88,382.47 kilogram.

“Pada 27 Jun hingga 1 Julai 2024, Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di sekitar Serdang, Ampang dan Sungai Buloh melibatkan tangkapan tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata, rampasan syabu dilakukan selepas sepasukan polis bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Serdang selepas menahan seorang lelaki dan perempuan tempatan di kawasan Puchong Jaya kira-kira  4.45 petang pada 27 Jun lalu.

“Polis merampas tujuh guni plastik berwarna putih mengandungi tanah untuk menyembunyikan 56 bungkusan plastik berwarna keemasan bertulisan Guan Yin Wang.

“Bungkusan itu berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 57,636.47 gram yang dijumpai di dalam sebuah lori,” katanya.

Menurut Hussein, kedua-dua suspek berumur 41 dan 42 tahun masing-masing bekerja sebagai penghantar barang dan seorang lagi tidak bekerja.

“Semakan status kedua-dua suspek adalah suami isteri, hasil saringan awal air kencing suspek pertama adalah positif dadah jenis ketamin dan tetra hydrocannibol (THC).

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM1,844,367 dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang,” katanya.

Bagi rampasan kedua pula, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Selangor telah menahan seorang lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Sulaiman Ampang kira-kira 4.45 petang pada 29 Jun lalu.

“Polis merampas sebuah beg berwarna hitam berisi 10 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 4,496 gram yang disimpan oleh suspek dalam sebuah kereta.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM43,200 dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambahnya, suspek yang berumur 48 tahun itu tidak bekerja dan telah berkahwin.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Sementara itu, bagi rampasan ketiga, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan di kawasan tempat letak kereta Hentian Sungai Buloh kira-kira pukul 4.30 pagi pada 1 Julai lalu.

“Polis merampas satu beg berisi 26 ketulan mampat dedaun kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 26,250 gram yang dikeluarkan dari bonet belakang sebuah kereta.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM81,375 dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang,” katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek berumur 34 tahun, bekerja sebagai tukang masak dan telah berkahwin.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah, manakala hasil saringan awal air kencing, suspek didapati positif THC.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here