Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi timbalannya Lim Hui Ying dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan politik kebencian yang terlalu menebal di negara ini meletakkan jentera kerajaan dalam situasi yang tidak mudah untuk melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, beliau langsung tidak mengambil peduli berkenaan amalan politik sedemikian kerana lebih memikirkan tanggungjawab untuk memajukan negara.

Malah, ujar beliau, politik kebencian itu juga tidak seharusnya mengganggu tugas penjawat awam untuk menjalankan amanah masing-masing.

“Sebab itu kalau lihat di media sosial, ucapan-ucapan pembangkang termasuk di Sungai Bakap (pilihan raya kecil), apa yang mereka tidak panggil saya.

“(Saya digelar) Dajjal, ejen Israel dan Yahudi, jual negara kepada China, semua dia (pembangkang) sebut.

“Saya seringkali jawab sikit-sikit tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punyai tugas. Yang dilontarkan hanya kebencian, fakta tidak dipedulikan sama sekali.

“Apakah ini mengganggu kita? Tidak, ia tidak harus menggangu kita,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihadiri lebih 700 penjawat awam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, negara memerlukan puluhan bilion ringgit untuk bagi pelaksanaan projek prasarana terutama yang melibatkan perkara mendesak dan menyentuh keperluan asas rakyat seperti bekalan air.

Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan tidak mempunyai pilihan dalam pelaksanaan peyelarasan subsidi, membanteras rasuah dan mengelak ketirisan supaya hasil negara dapat digunakan sebaiknya untuk pelaksanaan projek prasarana.

“Ini semua (projek prasarana) menelan belanja puluhan bilion ringgit, (sumber) dari mana…mesti dari hasil yang munasabah dan elak dari kecurian, ketirisan dan rasuah, (dan) kita semua punya tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazzete

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast