Pelakon, Ruhainies selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Pelakon Ruhainies menegaskan, dia tidak mungkin bertunang dengan Aliff Aziz dalam masa terdekat ini walaupun kedua-dua mereka sedang berdepan dengan tuduhan berkhalwat di mahkamah.

Malah wanita berusia 31 tahun itu turut kecewa kerana terlalu banyak sangat berita tidak sahih dilemparkan ke atas dirinya dan Aliff di media sejak kebelakangan ini.

“Itu sudah merepek sangat. Sampaikan Anies rasa agak melampau juga, boleh menimbulkan fitnah.

“Makin lama merepek sangat rasanya, Anies tidak tahu siapa yang buat benda itu, bila media pick up (tulis), so Anies rasa sedihlah apabila berita tidak sahih yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir sebutan kes khalwat bersama Aliff di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah akaun Instagram memuat naik kad digital majlis pertunangan Ruhainies dan Aliff yang bertarikh 29 Jun lalu.

Ditanya komen netizen yang menyelarnya hadir ke mahkamah dengan senyuman lebar, Ruhainies menepis dakwaan dia tidak sensitif atau terkesan dengan apa yang sedang berlaku.

Sebaliknya, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata dia gembira kerana akhirnya dapat bertemu rakan media selepas lama tidak berjumpa.

“Saya senyum sebab nampak rakan-rakan media dekat sini, saya teruja setelah sekian lama tak berjumpa kalian semua.

“Saya bersyukur sebab kalian sudi datang awal pagi untuk prosiding hari ini.

“Mengenai itu (tersenyum), takkan saya nak menangis pula, saya tak pandai berlakon, tak pandai menangis depan kamera,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, pasangan itu dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan kira-kira pukul 2 petang hari sama.

Namun hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat mereka ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini sebagai sebutan semula dan bon jaminan RM1,500 setiap seorang dikekal sehingga tarikh tersebut.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast