Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada media berkenaan Ziarah Kasih bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustafa Sakmud sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Sungai Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JULY 2024


NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 39,279 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap keluar mengundi pada Sabtu ini.

Beliau yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara berkata, ia bagi memastikan Kerajaan Perpaduan menang selesa sekali gus membuktikan persaingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu lebih sihat.

“Kita target (sasaran) nak capai 80 peratus ke atas (pengundi) baru kita nampak bersaing kan..kalau kita menang dengan 40 peratus (pengundi) kita faham (situasi).

“Dalam masa sama, masing-masing (pengundi) kena ingat tanggungjawab memilih ini bukan sekadar pilih pemimpin tapi nak menentukan masa depan…masa depan rakyat Sungai Bakap, negeri dan negara.

“Saya harap ramai keluar mengundi (Sabtu ini) itu yang penting,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih di Sungai Bakap di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung perjalanan kempen yang memasuki hari ke-12, Joohari berkata, pihaknya melihat kecenderungan pengundi kelabu ke arah peralihan undi.

Jelas beliau, hampir 85 peratus pengundi telah disantuni secara bersemuka dalam tempoh kempen dan yakin mampu habiskan 15 peratus lagi sebelum hari mengundi.

“Saya rasa setakat ini nampak okay..nampak mereka menyokong kita yang putih (kawasan berpihak pada PH) Insya-Allah..yang kelabu pun dah nampak ada kecenderungan belah (ke arah) kita.

“Selain faktor calon, faktor jentera kita bekerja kuat turut menjadi peranan penting untuk kita (tawan semula Sungai Bakap).

“Kita yakin mereka (pengundi) akan pusing balik (undi PH) seperti mana yang berlaku pada undi lepas,”katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast