Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 yang bertujuan meluaskan kuasa Ketua Audit Negara bagi memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.

RUU bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 26 ahli Parlimen dari kerajaan dan blok pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, pindaan itu penting bagi memperkasa peranan Jabatan Audit Negara untuk membina kepercayaan awam dalam pentadbiran negara dengan menyediakan pengauditan bebas dan objektif terhadap perbelanjaan kerajaan.

“Jabatan Audit Negara memainkan peranan penting dalam rangka kerja tadbir urus yang baik, dengan memastikan aktiviti dan perbelanjaan kerajaan dijalankan dengan bertanggungjawab dan beretika.

“Dengan pindaan ini saya pasti Jabatan Audit Negara akan menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh bagi menjadikan negara demokratik yang lebih matang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Jun oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan Pindaan Akta Audit 1957 akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.

Selain itu, ia juga dapat memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.

Menurut kenyataan itu, seramai 35 ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyertai sesi libat urus bersama Azalina pada Isnin, serta mendengar pembentangan daripada Ketua Audit Negara mengenai intipati pindaan dalam RUU berkenaan.

“Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 1991 (33 tahun yang lepas) dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.

Pindaan juga bertujuan memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang, melalui tiga pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan,” demikian menurut kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast