KUALA LUMPUR- Seorang pelawak dan isterinya yang ditahan pada Isnin lalu bagi membantu siasatan berkait isu penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini berkata, pasangan warga tempatan yang direman selama dua hari itu akan diberi jaminan polis.
“Sementara, polis akan meneruskan siasatan ke atas pasangan itu untuk tindakan lanjut. Siasatan tindakan tatatertib juga akan dijalankan ke atas isteri pelawak itu yang juga merupakan seorang anggota polis wanita,” katanya hari ini.
Semalam Hussein mengesahkan pelawak serta isterinya direman dua hari bagi membantu siasatan tentang penyebaran maklumat dalaman berkaitan IPD Shah Alam di aplikasi social Telegram.
Pada masa sama, telefon bimbit pasangan itu turut dirampas bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, pelawak berusia 38 tahun dan isterinya, 37, ditahan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 7 malam Isnin lalu.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam. – MalaysiaGazette