Jabatan Audit Negara. foto MALAYSIAGAZETTE.

 

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini membangkitkan tiga isu signifikan antaranya berkenaan pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan.

Turut diberi teguran menerusi laporan itu adalah berkaitan pengurusan Program Pemerkasaan Jaringan dan Infrastruktur Telekomunikasi Jalur Lebar serta pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menurut Jabatan Audit Negara, menerusi laporan itu,  terdapat beberapa kelemahan yang dikesan dalam pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan yang berpunca daripada pelbagai faktor.

“Antaranya, seperti kurang pemantauan dan penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi dan prosedur kerja.

“Kelemahan itu juga menyebabkan program, aktiviti dan atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

LKAN itu melaporkan sembilan sembilan pengauditan yang melibatkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program, projek, aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.970 bilion.

Skop pengauditan pula meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Menerusi laporan sama, Ketua Audit Negara turut mengemukakan sebanyak 64 syor audit untuk dilaksanakan oleh kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

Laporan LKAN 2/2024 itu terdiri daripada dua naskhah iaitu mengenai aktiviti Kementerian, jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan serta Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Laporan penuh mengenainya boleh diakses di laman web Jabatan Audit Negara bermula pukul 10 pagi ini.  – MalaysiaGazzete

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast