KUALA LUMPUR – Antara perkara sangat membimbangkan adalah hukum tujuh untuk mereka yang terlibat dengan syabu, kata Ahli Parlimen Gombak.
“Bila tujuh kali kena (syabu) dia akan ketagih dan perlukan tujuh tahun untuk proses pemulihan dan selepas itu dia hanya ada 70 peratus pulih daripada dadah,” jelas Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor itu berkata demikian semasa sesi perbahasan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Amirudin berkata, masalah ketagihan terhadap dadah jenis syabu antara yang membimbangkan kerana proses pemulihannya mengambil masa yang lama.
Selain itu, beliau mahu pencegahan penagihan dan bahaya dadah perlu dijadikan antara silibus di peringkat sekolah.
Ia kerana faktor pendidikan turut menyumbang kepada kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
“Saya lihat kalau kita tidak tangani menyeluruh angka 83,000 daripada 145,000 penagih daripada 2023 hanya mereka yang lulus peringkat PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan ke bawah jadi faktor besar dengan keterlibatan dadah.
“Justeru saya berharap agar silibus pencegahan penagihan mula dimasukkan ke peringkat sekolah supaya kita dapat menangani pencegahannya dengan meluas dan menyeluruh supaya usaha kita membanteras sejak 80-an dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette