KUALA LUMPUR – Diari Survivor Kepulihan (DSK) menyokong penuh Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menurut seorang survivor kepulihan, Suzaidy Sulaiman, RUU itu memberi sinar baharu kepada penagih dadah terutamanya dalam aspek pemulihan secara sukarela.
“Pindaan itu telah membuka ruang untuk segala program rawatan dan pemulihan yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sama ada dalam institusi atau komuniti.
“Sebenarnya, ramai di antara kami yang ingin mendapatkan rawatan pemulihan tetapi proses itu seakan-akan terbantut terutamanya apabila kami perlu menunggu keputusan patologi yang mengambil masa tiga bulan.
“Saya percaya pindaan ini dapat membuat reformasi dalam proses rawatan dan pemulihan dadah yang selama ini berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi,” katanya.
Sebelum ini, AADK telah memperkenalkan kaedah rawatan dan pemulihan secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Pejabat AADK Daerah.
“Walaubagaimanapun, kelemahan akta lama menyebabkan kaedah itu telah memperlahankan prosedur mendapatkan rawatan kerana perlu menjalani pelbagai proses seperti kaedah mandatori.
“Melalui pindaan ini, saya berharap akses untuk penagih dadah mendapatkan rawatan pemulihan menjadi lebih mudah, cepat dan tiada lagi birokrasi,” tambahnya. – MalaysiaGazette