PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kes dera melibatkan anjing jenis Husky yang tular pada 1 Julai lalu.
DVS yang bertindak atas maklumat telah memeriksa lokasi kejadian di sebuah kondominium di Kajang pada 2 Julai lalu.
“Kami mendapati anjing Husky itu telah diselamatkan orang awam dan dibawa ke klinik haiwan swasta yang terletak di sekitar Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan.
Kes akan disiasat di bawah perenggan 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan suspek boleh dikenakan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
“Selain itu, keterangan suspek telah diambil dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.
DVS juga ingin menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu seperti yang telah ditularkan oleh sesetengah pihak di media sosial.
“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk dari sudut undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak yang membuat sebarang pertuduhan palsu di rangkaian media dan aplikasi sosial berkenaan kes ini.
“Justeru itu, kami ingin menasihati mereka yang ingin membuat aduan berhubung kebajikan haiwan boleh melayari pautan awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) dan tidak melakukan apa-apa yang boleh menganggu siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette