KUALA LUMPUR – Enam penunggang motosikal yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, siasatan mendapati, keenam-enam penunggang motosikal itu telah dikesan berlumba serta melakukan lagak ‘Superman’ di lebuhraya tersebut.
“Kesemua lelaki yang ditahan itu adalah berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun dan motosikal mereka jeniz Yamaha Y15ZR dan Yamaha Y16ZR turut Berjaya disita untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mereka ditahan pada jam 1.20 pagi oleh Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Menurut Mohd Nasri, soal siasat mendapati kesemua pemuda itu menetap di daerah Klang dan sedang dalam perjalanan ke sebuah restoran di Shah Alam untuk menjamu selera.
“Pada masa sama, mereka menguji kelajuan motosikal dengan melakukan aksi berbahaya tanpa mengendahkan soal keselamatan pengguna lain atas jalan,” ujarnya.
Tambah beliau, JSPT mengeluarkan empat saman kepada mereka selepas pemeriksaan mendapati motosikal tidak mempunyai nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan tiada lesen memandu.
Mohd Nasri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette