Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) masih lagi meneliti representasi ketiga dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor dalam menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta.

Selain itu, Rosmah juga berdepan dakwaan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hari ini, peguam Rosmah, Amer Hamzah Arshad memberitahu, pihaknya masih lagi menunggu jawapan sama ada representasi yang telah dihantar diterima atau sebaliknya oleh pendakwaan.

Untuk makluman, Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghantar representasi ketiga pada 12 Disember 2023.

Bagaimanapun, kata Amer Hamzah, pihaknya tidak berhasrat menangguhkan prosiding sebaliknya ia bersambung hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy.

Ketika prosiding hari ini, Amer Hamzah berhujah, semua pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi anak guamnya tidak berasas.

Ini kerana pertuduhan tersebut tidak menyatakan bentuk aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh.

“Rosmah telah didakwa secara berulang dengan fakta yang sama, pasukan pendakwaan telah mencipta sebanyak mungkin pertuduhan mengunakan fakta kes yang sama dan ini tidak adil kepada anak guam saya,” katanya.

Menurut Amer, pertuduhan anak guamnya tidak isytihar harta tidak wajar dikaitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram.

“Ini kerana ianya tertakluk bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“SPRM juga tidak ada hak kemuka pertuduhan terhadap Rosmah kerana agensi ini tidak ada sebarang kuasa menjalankan siasatan berkaitan kes gagal mengisytiharkan cukai,” tegasnya.

Prosiding akan bersambung pada 23 Ogos ini.

Rosmah sedang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast