KUANTAN – Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan satu tawaran ‘Bantuan Wang Belanja’ yang tersebar di aplikasi Tik Tok dengan menggunakan nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Penyamar menggunakan nama @tpafzanaminahh di aplikasi berkenaan meminta orang ramai yang mahukan bantuan wang tunai bernilai RM1000 untuk klik kepada pautan disediakan,” titahnya menerusi kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang.
Istana Pahang turut menafikan kewujudan sebarang akaun Tiktok atau Instagram di atas nama Tengku Puteri Raja Tengku Afzan.
Pihak istana berharap orang ramai lebih berjaga-jaga dan mencari pasti kesahihan sesuatu perkara sebelum teruja menerima sebarang tawaran yang sebenarnya tidak wujud sama sekali.- MalaysiaGazette