Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada Sidang Media berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakkan Utama Perpaduan, Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Semua pihak harus memberi kepercayaan kepada pasukan keselamatan untuk mengawal keadaan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berbaki 48 jam lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengundi tidak perlu bimbang dan takut untuk keluar menjalankan tanggungjawab kerana keselamatan mereka adalah terjamin.

“Berdasarkan kepada fakta, keseluruhannya (perjalanan kempen) berjalan dengan baik. Jadi, ini penting untuk memberikan keyakinan kepada pemilih di Sungai Bakap pada Sabtu ini.

“Tak perlu rasa bimbang dan takut. Mereka patut keluar beramai-ramai kerana jaminan keselamatan itu dapat diberikan oleh pihak polis.

“Tunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar awal pagi ke semua pusat pembuangan undi yang dibuka terutama dalam keadaan cuaca tak menentu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, keseluruhan perjalanan kempen yang terkait dengan isu keselamatan sememangnya adalah terkawal.

“Buat masa sekarang, jumlah kekuatan anggota polis yang telah dikerah sehingga hari pembuangan undi ialah seramai 835 anggota dan sebanyak empat aduan diterima sepanjang kempen berlangsung sejak 22 Jun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast