PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa sebuah premis menjual durian dalam Ops Duri yang dijalankan di sini, semalam.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairy Mat Radey, pemeriksaan itu dilakukan susulan iklan yang terdapat pada video tular yang dimuat naik di laman Tik-Tok, baru-baru ini.
“Berdasarkan iklan, premis itu kononnya menjual buah durian jenis premium seperti Musang King, Udang Merah, Black Thorn dan lain-lain berjenis premium.
“Tetapi, kami mendapati bahawa ada pengguna yang meluahkan ketidakpuasan hati apabila bekalan durian yang diberi di situ tidak seperti apa yang diiklankan di laman sosial.
“Oleh sebab itu, pihak kami telah menjalankan siasatan dengan menggunakan kaedah penyamaran oleh seorang anggota bertujuan untuk mengesahkan secara fizikal aktiviti jualan di premis itu.
“Hasil siasatan mendapati tidak semua durian yang diletakkan dalam bakul jualan terdiri daripada jenis premium dan perkara ini telah membawa kepada percanggahan jenis sebenar produk yang diiklankan premis itu,” katanya.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang mana iklan yang dibuat berbentuk umpanan dengan niat untuk tidak membekalkan seperti apa yang diiklankan.
“Dalam kesempatan ini, KPDN ingin memberi amaran keras kepada mereka yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.
“Orang awam yang membuat sebarang maklumat berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh membuat aduan di talian rasmi KPDN,” tambahnya. – MalaysiaGazette