Jabatan Audit Negara di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan wujud salah guna dana dalam Majlis Profesor Negara (MPN) antaranya membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Menurut laporan itu, wujud konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) MPN tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit selaras dengan Akta 777 (Akta Syarikat 2016).

Selain itu, kataya, MPN juga didapati membuat pembayaran elaun tetap kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Tambahnya, beberapa pembayaran oleh MPN juga didapati dibuat tanpa kelulusan LPA antaranya honorarium felo penyelidik berjumlah RM399,000 dan pemasangan lif serta pengubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500.

Pembayaran lain tanpa kelulusan LPA juga, katanya, termasuk penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500 serta pembayaran elaun tetap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) berjumlah RM66,000.

Selain itu, menurut laporan itu, berlaku pengurusan geran yang tidak cekap di MPN antaranya membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan.

“Sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta sejumlah RM475,000 peruntukan tidak digunakan manakala sebanyak RM98,076 pembiayaan kad kredit korporat dibuat tanpa dokumen sokongan,” demikian menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah laporan itu, berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard di MPN antaranya melibatkan pembayaran panjar wang runcit berjumlah RM48,102 tanpa bukti semakan dan kelulusan selain pembayaran wang pendahuluan RM20,000 juga tanpa dokumen sokongan.

Sebagai rumusan, laporan itu membuat penilaian objektif penubuhan MPN berdasarkan Artikel Pertubuhan pindaan 26 Ogos 2019 adalah tidak tercapai.

Katanya, MPN tidak diuruskan dengan baik apabila dua ahli LPAnya tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta 777.

“Tadbir urus yang lemah telah menyebabkan pembayaran tidak teratur akibat tindakan dalam operasi syarikat yang dilaksanakan tanpa kelulusan ahli LPA dan tidak mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, jabatan itu mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.

Katanya, status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan.

“Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.

“JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast