Pintu masuk ke Pusat pemulihan untuk penagih dadah di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR- Kerajaan diminta tidak terburu-buru dalam meminda sebarang undang-undang berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah yang dibacakan di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) dalam kenyataan berkata, penglibatan doktor adalah sangat penting dalam menentukan sama ada seseorang itu benar-benar penagih tegar atau hanya boleh dirawat secara kaunseling sahaja.

“Apabila kita bercakap mengenai rawatan kepada bekas penagih dadah, orang yang paling penting dalam menentukan rawatan adalah pihak doktor.

“Ini kerana bekas penagih ini adalah pesakit dan bukannya penjenayah. Oleh itu, rawatan yang diberikan perlulah daripada pihak doktor dan bukannya seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Perbuatan ini melanggar etika kerana ketiadaan sesi pemeriksaan oleh doktor yang berpengalaman,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Perdim melihat adanya kelemahan-kelemahan dalam pindaan undang-undang tersebut dimana AADK tidak boleh diberikan kuasa mutlak dalam mendiagnosi pesakit.

Ini kerana ujian air kencing semata tidak boleh dijadikan kriteria utama pesakit.

“Harus diingatkan, terdapat beberapa ubat analgesik yang juga boleh memberikan keputusan ujian air kencing itu positif, ” ujarnya.

Secara statistik , 80 peratus penagih akan kembali ke kehidupan penagihan setelah keluar penjara.

Ini jelas menunjukan hukuman penjara tidak akan menyelesaikan masalah penagihan ini.

Secara statistik, sebaik saja pensgih ini keluar penjara, lapan dari 10 orang akan kembali menjadi penagih.

Organisasi itu turut membantah keputusan rawatan kepada pesakit ditentukan oleh pihak AADK dan semua penagih akan dihantar ke AADK.

Perdim turut membantah undang-undang yang mewajipkan klinik0klinik swasta memberikan nama-nama pesakitnya ke pihak AADK kerana keadaan ini hanya akan menyebabkan satu stigma yang mana pesakit merasakan tidak bebas mendapatkan rawatan.

“Klinik swasta tidak perlu melaporkan data-data sulit para pesakit kepada AADK kerana rawatan lesakit di Klinik swasta sudah dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bahkan tindakan seumpama ini akan menyebabkan pesakit kurang berminat  mendapatkan rawatan di klinik swasta.
“Apa yang Perdim cadangkan adalah pihak AADK dan pihak bukan kerajaan yang  mewakili klinik swasta berkongsi data untuk melihat keberhasilan program rawatan di klinik swasta,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu berkolaborasi bersama pihak klinik swasta untuk memastikan pindaan ini memberikan impak yang positif kepada penagih.

“Perdim berharap KDN dapat melakukan sesi perjumpaan dengan pemegang taruh sebelum undang-undang ini digubal,” katanya.

RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan.

Ia juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

RUU berkenaan bertujuan meminda tanjuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna atau bahan.
Pindaan itu bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.
Manakala pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyaki sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast