Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bersama isterinya Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anaknya Muhammed Amir dan Muhammed Amin hadir ke mahkamah untuk didakwa berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk memindahkan kes gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya di mahkamah lain akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Ogos depan.

Daim memfailkan permohonan memindahkan kes pada 7 Mei lalu atas alasan kemungkinan berlaku ketidakadilan terhadapnya kerana kes isteri beliau, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama iaitu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Tarikh itu diputuskan Hakim Azrul Darus selepas pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya masih lagi menunggu permohonan pemindahkan kes difailkan oleh Daim ketika ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, afidavit berkaitan pemindahan itu telah dibalas oleh pendakwaan pada 23 Mei lepas manakala afidavit jawapan pemohon telah dibuat pada 30 Mei lalu.

“Mohon tarikh pendengaran pada 9 Ogos ini,” katanya pada prosiding hari ini.

Dalam pada itu, peguam mewakili Daim, M Puravelan pula memohon kebenaran mahkamah supaya anak guamnya dikecualikan kehadiran pada prosiding hari itu.

Namun permohonan tersebut dibantah oleh pendakwaan.

Hakim kemudian memerintahkan Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, untuk hadir pada hari pendengaran itu.

Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah pada 29 Januari lepas.

Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan . -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast