Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada Sidang Media berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Bilik Gerakkan Utama Perpaduan, Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JULY 2024.

NIBONG TEBAL – Pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang berhubung kes petugas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pemberita di satu majlis perjumpaan pemimpin di Sungai Kechil di sini, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung insiden tersebut namun memberi jaminan siasatan dijalankan secara profesional.

“Berita itu (gangguan seksual) pertama kali saya dengar..mungkin sebab saya sibuk kempen.

“Tapi jika laporan (polis) sudah dibuat, saya nak beri jaminan bahawa ia sepenuhnya di bawah autoriti pasukan polis.

“Gunalah peruntukan undang-undang yang ada..buatlah siasatan secara profesional ikut jalur undang-undang..Itu saya boleh sebut,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang wartawan sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis berhubung insiden seorang lelaki yang mendakwa dirinya petugas kempen PH berkelakuan tidak senonoh.

Kejadian berlaku ketika pihak media sedang menemu ramah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir majlis perjumpaan pemimpin di Dewan Sungai Kechil di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Chong Boo Khim mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.

Difahamkan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.