Ahli Parlimen Tanjong Karang, Zulkafperi Hanafi (dua kiri) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan status terkini Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi di dalam Dewan Rakyat.

“Saya pohon minta petua, saya nak tahu kedudukan Tanjong Karang, adakah di pihak kerajaan atau pembangkang? Ini kerajaan, puan kena adil, saya tidak bazirkan masa,” kata Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Bagaimanapun Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng berkata, soalan Che Mohamad tiada dalam aturan mesyuarat pada hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta Ahli Parlimen Besut itu mendapatkan penjelasan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Tiada aturan mesyuarat yang disebutkan jadi sila duduk. Jangan bazir masa. Nanti minta penjelasan dari Tan Sri Speaker. Kalau tidak puas hati keluar,” katanya ringkas.

Pada Ahad lalu, Zulkafperi menerusi satu sidang media menegaskan beliau tidak berganjak untuk terus menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun keahliannya dilucutkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata Zulkafperi, beliau tidak membuat pusingan U selepas  membuat keputusan berkenaan.

Susulan notis pengosongan kerusi yang dihantar Bersatu, beliau menyerahkan sepenuhnya mengenai kedudukannya kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast