Perdana Menteri Malaysia (tengah), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan penyampaian Surat Tunjuk Minat untuk berkolaborasi daripada Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA (tiga dari kanan), kepada Encik Henry Hsu Yen Shuenn, Timbalan Pengarah Negara, Bahagian Perniagaan Peralatan Malaysia, Perniagaan Pengguna Malaysia, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (enam dari kanan).

KUALA LUMPUR- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah bekerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) dan SANY Construction Industry
Development (M) Sdn Bhd (SCID) bagi meneruskan usaha melestarikan pembangunan PR1MA di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff berkata, kerjasama itu bertujuan mengintegrasikan peranti pintar Huawei Malaysia ke dalam pembangunan PR1MA selain memperkukuhkan kolaborasi di bawah agenda pembinaan, pembangunan modal insan serta pengurusan lestari berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

“Pemeteraian semula MOU antara PR1MA dan SCID, anak syarikat SANY Global yang berpangkalan di China, adalah lanjutan daripada MOU yang telah ditandatangani pada 1 April 2023.

“Usaha ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam meneroka potensi kerjasama di antara Malaysia dan China dalam bidang perumahan, teknologi serta perancangan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi penyerahan Surat Tunjuk Minat kepada Huawei Malaysia serta pertukaran MOU antara PR1MA dengan SCID, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nazri memberitahu, pengukuhan kerjasama antara PR1MA dan SCID bertujuan untuk meneruskan usaha giat bersama gergasi industri global dalam penerapan teknologi pembinaan Industrialised Building System (IBS), khususnya bagi Bandar PR1MA yang baru dilancarkan pada bulan Jun yang lepas.

Katanya, kolaborasi itu juga untuk meneroka kerjasama strategik di bawah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta penerapan teknologi mesra alam seperti sistem tenaga solar serta kenderaan elektrik (EV) yang merangkumi trak pengurusan sisa, trak sanitasi, kenderaan perkhidmatan awam dan sebagainya di kediaman PR1MA di seluruh negara.

“PR1MA berharap langkah strategik ini akan memastikan
integrasi peranti pintar yang inovatif ke dalam kediaman PR1MA bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan, dan keselamatan para penduduk.

“Selain itu, inisiatif bersama Huawei Malaysia dan SCID ini dijangka akan memacu pertumbuhan pasaran, menggalakkan kemajuan teknologi, dan menetapkan piawaian industri yang baharu,’’ ujarnya.

Tambah beliau, melalui inisiatif tersebut, diharap dapat memperkenalkan lebih banyak inovasi dalam sektor perumahan yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada penduduk dan pembeli rumah PR1MA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast