River of Life, Kuala Lumpur.

 

KUALA LUMPUR – Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life  (RoL) tidak akan berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini seperti dirancang meskipun sudah menelan belanja RM3.915 bilion atau 89.7 peratus daripada keseluruhan kos siling projek RM4.363 bilion setakat hujung tahun lalu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, sehingga Julai tahun lalu, lapan projek masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 peratus hingga 97.3 peratus.

Selain itu, tambahnya, kontraktor penyiap juga belum dilantik untuk dua projek yang ditamatkan kontrak manakala 12 projek juga belum dimulakan.

Jelasnya, tiga projek pembetungan belum disiapkan dan telah diluluskan lanjutan tempoh masa (EOT) antara 2,098 hingga 2,938 hari iaitu kelewatan melebihi lapan tahun.

“Analisis audit mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai telah disiapkan dan hanya 50 daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.

“Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dan telah menyebabkan peningkatan kos kepada kerajaan,” demikian menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

RoL merupakan antara tiga projek yang mendapat teguran dan antara isu signifikan yang disentuh Ketua Audit Negara menerusi laporan itu selain program pemerkasaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar, dan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Projek itu yang dilancarkan pada 2010 bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak yang mengalir di tengah bandar dengan mengubah tebing kedua-dua sungai terbabit supaya mempunyai nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan dan pembangunan tanah.

Sementara itu, laporan audit tersebut menambah, kesemua objektif RoL juga masih belum berjaya dicapai termasuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB.

Katanya, ia disebabkan kelemahan dalam aspek perancangan, pelaksanaan projek, tahap operasi aset rendah serta tahap pematuhan efluen dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah.

“Hasrat kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah adalah tertakluk kepada pemilik masing-masing,” katanya.

Tambah laporan itu, model perniagaan yang tidak komprehensif juga menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Jelasnya, kekurangan itu juga menyebabkan aset RoL tidak disenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Pengauditan juga menemui kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek,” katanya. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast