KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mematahkan sindiket penyeludupan barang kontraban iaitu arak yang disorok di sebalik kontena sayur dan rokok pelbagai jenama dalam gudang terbiar di sini baru-baru ini.
Kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.51 juta, kata Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail.
Menurutnya, rampasan itu dibuat menerusi beberapa siri serbua pihaknya di Lembah Klang pada 13 dan 19 Jun lalu.
Dalam kes pertama, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan minuman keras (bir) yang disyaki tiada cukai kastam.
“Pemeriksaan pasukan kami di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang membawa kepada penahanan dua kontena bersaiz 40 kaki dan hasil pemeriksaan didalam menemukan muatan minuman keras berjumlah 8,600 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM47,300.00 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM113,000.
“Modus operandi yang digunakan sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar iaitu mengandungi sayur-sayuran segar dalam borang manifest bagi mengaburi pihak berkuasa yang dipercayai diimport dari negara China.
“Untuk mengelak dihidu pihak berkuasa, sindiket juga menyorok muatan minuman keras di sebalik sayuran import berbagai jenis antaranya kobis brokoli,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya hari ini.
Tambah Norlela, susulan rampasan kontena bersama arak tidak bercukai itu, seorang wakil perkapalan telah dipanggil untuk membantu siasatan lanjut.
Pihaknya meneruskan siasatan lanjut dalam kes itu untuk menjejaki syarikat atau ejen pengimport yang terlibat untuk tindakan selanjutnya yang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import.
Bagi kes kedua, pada 19 Jun lalu pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah rokok putih yang disyaki tak berkastam melalui serbuan di sebuah gudang disyaki premis kosong di kawasan kilang di Batu 11, Cheras.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dan rampasan berjumlah 1,566,000 batang rokok dianggarkan bernilai sebanyak RM288,000 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM1,062,000.
“Hasil pemeriksaan ke atas gudang tersebut, menemukan pelbagai jenama rokok putih dan kretek yang diimport dan disyaki tak berkastam.
“Modus operandi yang dijalankan adalah sindiket menggunakan setem cukai yang disyaki palsu pada beberapa jenama rokok yang dirampas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Untuk memastikan barang seludup itu tidak dijejaki mana-mana pihak, sindiket juga menggunakan gudang usang tidak bertanda di kawasan kilang bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Tegas beliau, pihaknya sedang menyiasat kes ini di bawah Akta Kastam 1967 untuk mengesan pemilik gudang atau ejen pengimport yang terlibat dalam kegiatan serta mempunyai akses kepada premis itu bagi tindakan selanjutnya.
Bagi kedua-dua kes, jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM500,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette