Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya menerima empat daripada sasaran 18 buah kapal sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) setakat 31 Disember 2022.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, antara punca kegagalan itu disebabkan kelewatan penyiapan kapal tempur pesisir (LCS) dan pengurangan sebuah kapal jenis terbabit.

Selain itu, katanya, kegagalan tersebut juga disebabkan perolehan kapal misi pesisir (LMS) tidak mengikut perancangan dan perolehan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) tidak dilaksanakan.

“Prestasi perolehan kapal itu tidak memuaskan dan boleh menjejaskan sasaran pegangan kapal menjelang tahun 2050,” demikian menurut laporan tersebut yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah laporan itu, sebanyak 26 daripada 49 kapal TLDM juga didapati melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun mengikut penetapan jangka hayat.

Selain itu, katanya, sebanyak 14 hingga 19 kapal TLDM diguna secara high-tempo (melebihi 60 hari di laut) bagi tahun 2020 hingga 2022.

“Perolehan kapal baharu yang tidak mengikut perancangan menyebabkan kapal melebihi usia masih digunakan untuk operasi,” katanya.

Sementara itu, laporan tersebut turut mendedahkan sejumlah RM384.49 juta alat ganti kapal TLDM tidak digunakan melibatkan 1.62 juta unit (RM381.69 juta) alat ganti Depot Bekalan Armada Barat (DBAB) serta 6,040 jenis (RM2.80 juta) alat ganti Depot Bekalan Armada Timur (DBAT).

Jelasnya, antara punca alat ganti itu tidak digunakan disebabkan peralatan di atas kapal ditukar dengan peralatan dan jenama lain serta kapal `patrol craft’ (PC) dilucutkan tauliah dan dipindahkan kepada agensi lain.

“Penggunaan alat ganti kurang memuaskan dan alat ganti yang tidak digunakan ini boleh mengakibatkan berlakunya pembaziran,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara menerusi lapora tersebut mengesyorkan Kementerian Pertahanan dan TLDM memastikan program transformasi agensi berkenaan dilaksanakan mengikut perancangan.

Selain itu, katanya, aspek penyenggaraan juga perlu dilaksanakan mengikut jadual manakala pelan tindakan disediakan terhadap stok alat ganti yang tidak digunakan. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast