Tangkap layar dalam video yang tular baru-baru ini.

KLANG  – Sepuluh lelaki tempatan ditahan bersama 5.19 gram heroin dalam satu serbuan di kawasan semak Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini, 2.00 petang, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kesemua suspek berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau kes jenayah dan dadah.

“Dalam serbuan itu, pihak polis telah merampas lima paket plastik lutsinar berisi bahan-bahan disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan mempunyai berat sebanyak 5.19 gram.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesepuluh mereka akan dituduh di Mahkamah Klang, hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai video yang tular di laman sosial Tiktok baru-baru ini, Hoong Fong menjelaskan bahawa kesemua video itu adalah video lama yang ditularkan semula.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah pun mengambil tindakan drastik pada tarikh-tarikh kejadian dalam video itu yang mana ia terjadi pada tahun lepas.

“Enam kes telah berjaya ditangkap.

“Pihak polis ingin menasihati orang ramai untuk tidak menularkan kembali video-video lama itu supaya dapat mengelakkan daripada tercetusnya kebimbangan masyarakat setempat.

“Selain membuat serbuan dan tangkapan, kami turut membakar kawasan yang dipercayai menjadi sarang penagih dadah,” tambahnya.

Beliau juga menyeru mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil ke balai atau hubungi pihaknya di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette