Jabatan Audit Negara. foto MALAYSIAGAZETTE.

KUALA LUMPUR – – Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad
(PSMB) menjelaskan, kutipan levi yang rendah pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19 kerana majikan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diberikan moratorium pembayaran levi dalam tempoh tersebut.

Namun kutipan levi telah meningkat semula kepada kadar sepatutnya pada tahun 2022. 

Sebelum itu, prestasi kutipan levi meningkat secara mendadak kepada RM2,133 juta pada tahun 2023 berbanding RM475 juta pada 2020, RM848 juta (2021) dan RM1,809 juta pada tahun 2022.

Pengerusi PSMB, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, peratusan levi yang telah dibayar mencatatkan peningkatan daripada 63% (2020), 32% (2021), 42% (2022) kepada 71(%) pada tahun lepas.

“Walau bagaimanapun, sekiranya kita mengambil kira levi yang telah diluluskan dan belum dibayar (bayaran hanya dibuat selepas latihan), maka peratus penggunaan levi untuk tahun lepas mencecah 83% ,” katanya dalam kenyataan.

Keuntungan sebelum cukai mencatatkan peningkatan kepada RM97.5 juta pada 2023 berbanding RM25.8 juta (2020), RM12.1 juta (2021) dan RM29.8 juta (2022).

“PSMB turut mengambil langkah memperkuatkan Jabatan Inspektorat Pematuhan dan Penguatkuasaaan selain mewujudkan petugas khas yang terdiri daripada Jabatan Levi dan Jabatan Penguatkuasaan tahun lalu untuk menangani isu tunggakan.

“Oleh sebab itu, PSMB telah berjaya mengutip tunggakan sebanyak RM96.27juta pada tahun lepas berbanding RM34.36 juta (2020), RM52.34 juta (2021) dan RM81.78 juta (2022).

Katanya, atas arahan Menteri Sumber Manusia untuk Rekayasa Kesuma, PSMB juga telah melaksanakan reformasi proses untuk menambahbaik tatakelola organisasi pada tahun ini dengan pemansuhan projek Skills Passport tanpa sebarang kos dan kerugian kepada PSMB mahupun kerajaan.

Selain itu, pengasingan “Jawatankuasa Risiko dan Audit” menjadi dua jawatankuasa berbeza iaitu “Jawatankuasa Risiko” dan “Jawatankuasa Audit”.

Setiap Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh ahli lembaga pengarah yang berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif, yang berpengalaman dalam bidang utama dalam keduadua fungsi tersebut.

PSMB juga melaksanakan Pengenalan Akaun Inisiatif Strategik (SIA) yang berasingan dengan akaun amanah levi bertujuan memastikan pengurusan kewangan yang lebih telus dan cekap.

“PSMB ingin menegaskan bahawa levi majikan sememangnya hanya digunakan untuk tujuan latihan pekerja mereka sahaja selama ini. Namun, langkah pengasingan akaun ini
memperkukuhkan lagi proses untuk memastikan levi majikan hanya digunakan untuk tujuan latihan kemahiran pekerja majikan berdaftar sahaja dan bukan untuk tujuan lain.

“Akaun Inisiatif Strategik pula dibiayai melalui Keuntungan Terkumpul PSMB (dan bukan
menggunakan dana levi), dengan tujuan menyokong peningkatan kemahiran dan
pembangunan modal insan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikroPKS, dan komuniti rentan.

Tindakan lain ialah memperketat proses dalaman bagi mendapatkan kelulusan Panel Pelaburan; memudahcara serta menggalakkan penggunaan levi oleh majikan melalui dasar-dasar baharu; mempertingkat kecekapan proses kelulusan geran dan pembayaran geran latihan dari tujuh hari ke 24 jam. dan melaksanakan sistem pemantauan permohonan latihan yang mana, setiap pemohon hanya boleh menggunakan geran kerajaan untuk pemohonan latihan sekali sahaja berdasarkan rekod nombor kad pengenalan yang telah didaftarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast