KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai parti itu sebagai tindakan tepat.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan itu juga sekali gus membuka ruang kepada Noh untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada Bersatu.
Sambil mengalu-alukan keputusan itu, Muhyiddin menambah, Noh sebelum ini banyak menyertai program Bersatu, malah turut sama-sama membantu parti itu dan PN dalam beberapa siri kempen pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).
“Saya melihat kesediaan Noh menyertai Bersatu secara rasmi adalah satu langkah tepat sekali gus membuka ruang kepada beliau untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada parti.
“Saya berdoa semoga hijrah beliau ke dalam wadah parti Bersatu akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti ini dan memperkukuhkan saf perjuangan PN menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Semalam, Noh yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengumumkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta dengan permohonan dibuat secara dalam talian.
Menurut Noh, tindakan itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.
Pada 27 Januari lalu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dipecat daripada UMNO setelah didakwa melanggar disiplin parti mengikut Perlembagaan kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pemecatan Noh selepas terdapat laporan dan bukti kukuh beliau melakukan sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Karang pada PRU-15, Datuk Habibah Mohd. Yusof. – MalaysiaGazette