Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang

KUANTAN – Lebih 300,000 warga Pantai Timur dijangka membanjiri Dataran Sayangi Kuantan, di sini sempena Program Madani Rakyat Zon Timur bermula hari ini sehingga 7 Julai 2024.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, pelbagai pengisian demografi setempat ditawarkan sempena program tersebut.

“Kita menyediakan 34 reruai untuk agensi kerajaan serta 188 perkhidmatan daripada kementerian, PSUK negeri dan agensi menyertai program ini, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara langsung kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program ini akan memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar dan perkhidmatan berhubung pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).

Pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkaitan, tambah beliau.

“Ini satu program untuk memaklumkan rakyat untuk menilai dan memahami inisiatif Kerajaan Madani yang mana sebelum ini kita telah buat di beberapa lokasi seperti di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang dapat maklum balas baik daripada masyarakat.

“Jadi program di sini kita harap dapat maklum balas lebih baik daripada masyarakat setempat di Pahang khususnya, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Menurut Rubiah, sebanyak 34 acara di pentas utama akan dilaksanakan sepanjang program berlangsung.

Program yang sering menjadi tumpuan dalam siri Program Madani Rakyat sebelum ini juga akan disediakan seperti kaunter tawaran pengurangan 50 peratus bayaran saman trafik, pertukaran 3,000 topi keledar motosikal, jualan Madani, pameran aset agensi-agensi berkaitan, reruai kesihatan dan lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya.

Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast