NIBONG TEBAL – Semua penyokong parti diingatkan tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan sebarang provokasi menjelang pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap esok.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad menegaskan, sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi selepas penjumlahan rasmi dan pengumuman keputusan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Kita ingin menasihati kepada penyokong parti yang memenangi pilihan raya untuk meraikan dalam suasana sederhana dan tidak keterlaluan, di samping dilarang mengadakan sebarang perarakan.
“Kepada pemenang pula jangan buat sambutan luar biasa, perarakan tidak dibenarkan…raikan kemenangan secara berhemah, ikut tatatertib bawah peraturan,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak luar selain kepada petugas pilihan raya ketika hadir untuk proses mengundi.
Ia bagi mengelak identiti mereka digunakan pihak tidak bertanggungjawab sekali gus mensabotaj proses demokrasi.
“Kita minta supaya pengundi dapat datang awal ke pusat-pusat mengundi yang dibuka di waktu pagi memandangkan cuaca kurang baik di sebelah petang.
“Jangan bimbang dan takut untuk menjalankan tanggungjawab mengundi yang kita (polis) beri jaminan dari segi keselamatan serta ketenteraman awam termasuk kawalan lalu lintas bagi melancarkan proses.
“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak beri kad pengenalan kepada orang lain kerana dibimbangi identiti mereka disalahguna dan disabotaj, serahkan kad pengenalan hanya kepada petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamzah sepanjang proses kempen bermula 22 Jun lalu sehingga hari ini terdapat lima laporan polis diterima pihaknya yang kesemua kes itu masih dalam siasatan lanjut.
“Secara keseluruhannya, 181 permit ceramah serta kempen dikeluarkan terhadap kedua-dua parti yang proses berjalan dengan suasana aman, tenteram dan terancang,” katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari
Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette