Prof Dr. Sivamurugan Pandian

KUALA LUMPUR – Pemerhati politik menilai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung esok, satu persaingan sengit dan sukar diramal.

Bagi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. P. Sivamurugan, calon Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan masing-masing mempunyai peluang sama rata untuk memenangi PRK itu.

Jelas beliau, perkara itu dapat dilihat apabila keseluruhan jentera kedua-dua parti sehingga ke pucuk pimpinan tertinggi turun padang untuk sama-sama berkempen pada PRK tersebut.

“Saya berpandangan peluang kedua-dua parti pada PRK DUN Sungai Bakap esok sangat rapat, sebab itu kita dapat lihat pemimpin tertinggi parti juga perlu turun berkempen untuk melobi sokongan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Selepas tempoh 14 hari berkempen, PRK DUN Sungai Bakap akan berlangsung esok membabitkan pertembungan satu lawan satu antara calon PN, Abidin Ismail dan calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan `gelombang hijau’ yang mungkin memberi kelebihan kepada PN, Sivamurugan mengakui faktor tersebut boleh mempengaruhi keputusan PRK Sungai Bakap esok memandangkan majoriti pengundi DUN berkenaan ialah kaum Melayu.

Malah, jelas beliau, Kerajaan Perpaduan juga dilihat masih berhati-hati dengan sentimen yang mula tercetus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu apabila dilihat cuba memenangi semula kerusi berkenaan menggunakan segala aset politik yang dimiliki.

Sementara itu, ditanya sama ada isu penyelarasan diesel boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan, Sivamurugan bagaimanapun berkata, ia dilihat tidak begitu memberi kesan besar memandangkan isu tempatan lebih diberi pertimbangan oleh pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast