KUALA LUMPUR – Pintu kayu bergegar dek ketukan yang kuat dan berlaku dengan tiba-tiba pada lewat tengah hari Ogos 2020.
“Polis! Buka pintu!”
Wak Ang (bukan nama sebenar) tidak langsung berasa gentar dengan suara di luar pintu. Pantas daun pintu dibuka. Dia masih bersedih dengan kematian ibunya baru-baru ini. Ayahnya meninggal dunia pada tahun 2011. Pada usia 53 tahun, hidupnya tidak menentu meskipun dia kini mempunyai banyak masa terluang selepas bertahun-tahun menjaga orang tuanya.
Dia melihat ada anggota polis tercegat di depan muka pintu, hari semakin gelap. Mereka mahu tahu di mana dadah disorok.
Di bawah pendaftaran Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969, Wak Ang disenaraikan sebagai penagih dadah sejak tahun 1994, apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pertama kali menahan dan menghantar dia ke pusat pemulihan. Tindakan ini diambil di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Meskipun dia bertegas dia tidak menyembunyikan sebarang dadah, polis mendakwa dia adalah pengedar dadah dan menyelongkar rumah yang didiaminya di Ipoh itu.
Setelah tidak menemui sebarang dadah, dia dibawa ke balai polis. Dia diberi sebuah bekas dan diarah ke tandas.
Beberapa minit kemudian, dia ditahan. Dia positif heroin, air kencingnya menjadikan jalur ujian bertukar merah. Ini bermakna dia akan dipenjara di bawah Seksyen 5 Akta Dadah Berbahaya 1952. Meskipun Wak Ang tidak memiliki sebarang dadah ketika ditahan, dia masih melakukan jenayah kerana menyuntik dirinya dengan heroin, dadah Jadual 1, senarai narkotik paling serius.
Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di penjara di Tapah dan semasa dalam tahanan, dia berjaya membebaskan dirinya daripada dadah.
Setiap kali ditahan, dia pasti berusaha membuang tabiat ketagihan dadah. Setakat ini, dia beritahu Bernama, 13 kali sudah dia bebas dadah sejak mula terjebak dengan penagihan dadah pada tahun 1987. Cuma sebaik sahaja keluar dari penjara, dia kembali menagih dadah.
Apabila dibebaskan pada tahun 2023, dia balik ke Kuala Lumpur selepas meninggalkan bandar raya itu pada tahun 2009 untuk menjaga orang tuanya yang sakit dan dia kembali kepada tabiat buruknya menagih dadah.
Inilah kisah yang sering dikongsi penagih dadah. Butiran lanjutnya pelbagai tetapi beberapa perkara masih sama: mereka menjadi ketagih; mereka ditangkap; di dalam penjara atau pusat pemulihan, mereka berjaya mengatasi ketagihan tetapi sebaik sahaja dibebaskan, mereka kembali kepada ketagihan, disebalik mencuba dengan sedaya upaya untuk kekal bebas dadah.
Setiap kali, ketiga-tiga undang-undang yang disebut di atas akan diguna pakai, cuma hanya satu yang sedang dipinda di bawah apa yang dinamakan sebagai dekriminalisasi.
Tindak balas pindaan
Malaysia mengesahkan hasrat untuk mendikriminalisasi dadah pada 8 Mac 2023, apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat, memiliki dadah jenis berat yang tertakluk di bawah AADK, tidak akan dianggap sebagai jenayah. Ketagihan dadah akan dianggap sebagai satu penyakit.
Di bawah dekriminalisasi, undang-undang dan dasar seharusnya beralih daripada berorientasikan hukuman dan menjurus kepada mengurangkan kemudaratan serta merawat ketagihan sebagai satu isu kesihatan awam. Dalam berbuat demikian, Malaysia akan muncul sebagai salah sebuah negara yang sudah banyak melaksanakan dasar itu, seperti Portugal.
Pada Selasa dan Rabu lepas, pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang diuar-uarkan sebagai usaha dekriminalisasi dadah dibentangkan di Parlimen. Setakat ini, ia hanya mengundang banyak bantahan bukan pujian, daripada pakar ketagihan dadah, para akademik dan pakar undang-undang.
“Pindaan semasa tidak seiring dengan matlamat dekriminalisasi yang tulen dan mungkin memburukkan cabaran yang sedia ada. Kerajaan perlu menerima pakai semakan yang komprehensif ke atas dasar dadah negara seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969, dan Akta Racun 1952, ” kata sekumpulan 15 pakar penandatangan, diketuai Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, dalam satu kenyataan.
“Apa yang berlaku adalah satu langkah ke belakang, ” kata Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak, pakar ketagihan dan pemilik klinik metadon Poliklinik Khafidz. “Saya memandang berat tentang pindaan itu kerana ia akan menjadi cabaran besar kepada konsep pengurangan kemudaratan dan dekriminalisasi, yang menunjukkan kejayaan di negara-negara lain.”
Negara-negara yang menerima pakai dasar dekriminalisasi dadah berjaya mengurangkan kesesakan di dalam penjara, mengurangkan kadar jangkitan HIV dalam kalangan pengguna IV, dan angka penggunaan dadah dilaporkan kekal stabil tanpa lonjakan besar. Pemulihan pula adalah secara sukarela.
Pada masa ini, penjara Malaysia dilaporkan mengalami kesesakan. Menurut data Kementerian Dalam Negeri, setakat Mac 2023, Malaysia mempunyai 39 buah penjara dengan gabungan penghuni seramai 74,459 orang. Kapasiti penjara-penjara itu adalah 65,000 penghuni. Pada 3 Julai 2024, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah melaporkan, terdapat 6,450 orang di dalam penjara atas kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya, termasuk mereka yang direman.
Menurut pakar, pindaan yang dibentangkan itu tidak dapat menangani sepenuhnya isu kesesakan di dalam penjara kerana kesalahan mengguna dadah masih dihukum penjara. Majistret masih mempunyai pilihan untuk mengenakan reman ke atas pengguna dadah di penjara kecuali mereka diberi ikat jamin, yang demikian menambah tekanan ke atas masalah kesesakan.
“Rang undang-undang, yang bermaksud rang undang-undang dekriminalisasi – banyak memberi penekanan kepada hukuman, hukuman penjara dan denda untuk mereka yang menggunakan dadah, dan dalam sesetengah kes, malahan untuk ibu bapa. Ini tidak selaras dengan prinsip dekriminalisasi,” ulas Dr Adeeba.
Daripada menghantar pengguna dadah atau mereka yang memiliki jumlah dadah yang kecil ke penjara, sebaliknya mereka akan dibawa ke hadapan majistret dan menghadiri sesi pemulihan mandatori. Sekiranya ditangkap menggunakan dadah semasa pemulihan, pesalah mungkin berdepan dengan hukuman penjara dan sebat.
Salah satu pindaan juga menjadikan ibu bapa bertanggungjawab ke atas pemulihan anak-anak di bawah umur, yang mengguna dadah atau berdepan dengan denda sehingga RM5,000.
Kumpulan itu turut melahirkan “kekhuatiran”, pindaan berkenaan akan memberikan lebih kuasa kepada pegawai-pegawai AADK, dan bukan pegawai perubatan, dalam menentukan sama ada pengguna adalah penagih, atau pilihan rawatan. Majistret akan dikehendaki mengambil kira cadangan pegawai pemulihan apabila memutuskan nasib pengguna atau penagih dadah.
Pindaan-pindaan berkenaan juga mengkehendaki pegawai perubatan untuk melaporkan semua pengguna, bukan sahaja penagih yang mendapatkan rawatan, kepada Ketua Pengarah AADK. Perkara ini dipandang berat oleh pakar ketagihan. Beberapa orang daripadanya memberitahu Bernama, ia mungkin menghalang penagih, yang selama ini berjaya mengelak daripada dikesan, daripada mendapatkan rawatan.
Pindaan secara holistik
Ketagihan didefinisikan sebagai “gangguan kronik yang berulang, dengan sentiasa mencari dadah, di sebalik mengetahui akan kesan buruknya,” demikian menurut Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan di Amerika Syarikat. Para pakar menyifatkannya sebagai gangguan otak, kerana ia melibatkan perubahan kepada litar otak yang melibatkan ganjaran, stres dan kawalan diri.
Pengguna dadah Abdul Rahim, 49, tahu sangat akan situasi ini. Dia sudah tujuh kali masuk penjara dan disebat tiga kali.
“Kena rotan sakit,” dia beritahu Bernama. Namun dia tidak serik dan kembali terlibat dengan dadah selepas setahun bertahan, walaupun ketika mengambil metadon.
“Saya fikir dah pulih (bila saya berhenti metadon selama satu bulan), tapi rindu balik (ketagih heroin),” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori. Dia merancang untuk mendapatkan rawatan. Dua hari kemudian, polis muncul di kilang tempat dia bekerja dan menahannya.
Dia dijangka dibawa ke mahkamah November depan. Sememangnya dia bimbang akan dipenjarakan tetapi berharap majistret akan membenarkan dia menjalani hukuman dia di luar kerana sedang mengikuti terapi metadon.
Ditanya sama ada dia lebih suka mengikuti program pemulihan yang dijadikan mandatori oleh pihak mahkamah, sekiranya pindaan diluluskan, Abdul Rahim berkata, jika diberi pilihan, dia lebih suka tinggal di rumah dan terus bekerja.
Para pakar menyifatkan perkara ini sebagai pengurangan kemudaratan, yang merupakan komponen penting dekriminalisasi dadah. Daripada memfokuskan kepada sifar toleransi dan menghentikan penggunaan, pengguna dan penagih terus diberi sokongan untuk meneruskan kehidupan mereka dan menjadi anggota masyarakat yang produktif. Sekiranya mereka mahu berhenti menggunakan dadah, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan untuk membuang tabiat buruk mereka itu atau sekurang-kurangnya dapat menguruskannya.
Dasar dekriminalisasi dadah yang betul akan membenarkan pemilikan jumlah kecil dadah dan ujian positif dadah, yang mana kedua-duanya tidak akan menjadi kesalahan jenayah. Pakar-pakar ketagihan dan reformasi dadah mengharapkan polis dan pegawai penguatkuasa merujukkan pengguna dadah kepada pusat pemulihan secara sukarela, dan bukan menghantar mereka ke penjara yang berhampiran.
Untuk melaksanakan langkah demikian, dua undang-undang utama dadah iaitu Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang melibatkan penggunaan dan pengambilan sendiri dadah.
“Jika kita benar-benar percaya bahawa ketagihan adalah penyakit yang berulang, jadi kita perlu faham keadaan ketagihan dan realiti orang yang bergantung kepada dadah. Kita tak boleh dekriminalisasikan penggunaan dadah seseorang dan kemudian memenjarakan mereka kerana membawa sejumlah kecil dadah yang mereka ketagih,” kata Palani Narayanan, Pengarah Polisi Dadah Yayasan Aids Malaysia.
Peguam hak asasi manusia Abdul Rashid Ismail bersetuju dengan menyatakan, reformasi dadah memerlukan pendekatan holistik, memerlukan pindaan kepada semua undang-undang yang melibatkan penggunaan dan kesalahan dadah.
“Sebagai contoh, peruntukan berhubung Akta Pendaftaran, yang mana hukuman bersalah akan membuatkaN inidividu itu mempunyai rekod jenayah penggunaan dadah,” kata.
Abdul Rashid, yang juga pernah menjadi presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM), berkata, reformasi yang sebenar tidak boleh dilaksanakan apabila masa depan pengguna dan penagih musnah selama-lamanya kerana kesalahan penggunaan dadah mereka – di sebalik mereka sudah pulih sepenuhnya.
Pengguna dan penagih yang mempunyai rekod memberitahu Bernama, mereka mengalami kesukaran mencari kerja dan untuk menampung kehidupan mereka. Mereka komited untuk menjauhi dadah tetapi bimbang dengan stigma, tekanan kewangan dan kurangnya pilihan akan mendorong mereka mengambil semula dadah.
Satu lagi aspek reformasi dadah ialah Clean Slate bill, yang memerlukan pesalah dadah yang bukan ganas menjauhi diri daripada terlibat dalam sebarang masalah selama kira-kira tiga tahun. Sebaik sahaja mereka dapat berbuat demikian, rekod jenayah mereka akan dirahsiakan atau dibuang. Beberapa negeri di Amerika Syarikat meluluskan undang-undang ini, termasuk New York pada Disember 2023.
Palani berkata, Malaysia mungkin patut menimbangkan undang-undang itu.
Masa depan bebas dadah
Bagi Wak Ang, tidak ada Clean Slate bill, meskipun ia mungkin dapat menukar segala keperitan dalam kehidupannya.
Selepas pertama kali ditangkap, dia bulat hati mahu menjauhi dadah. Dia berjaya melakukannya. Selepas enam tahun ‘bersih’, dia berkahwin pada tahun 2001. Dia dapat pekerjaan yang baik, kehidupannya juga tenang, namun retak mula kelihatan. Isterinya banyak mengungkit kisah silamnya sebagai penagih dadah juga kisah dia ditangkap, untuk melukakan hatinya.
Akhirnya, pada tahun 2007, dia tewas kepada dadah. Dia berasa amat kesal dengan apa yang dilakukannya itu dan sepatutnya dia lebih kuat untuk terus menjauhi dadah.
Kini dalam usia 57 tahun, dia berasa begitu lelah dengan kehidupannya, ditambah langsung tidak berwang. Habis wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) digunakan untuk membeli dadah. Dia sekarang menumpang hidup di rumah adiknya dan menjadi penjaga anak saudaranya, seorang anak istimewa.
Setahun sudah dia berjaya menjauhi dadah, dan bertekad tidak akan lagi mengambil heroin.
“Letih. Tak larat dah. Takde akhiran, takde kehidupan. Ini kira bergantung pada dia (heroin). Nak buat apa pun, mesti nak ada dia. Baru boleh bergerak, nak buat kerja, nak buat apa pun. Kita sebagai hamba dia,” kata Wak Ang. – BERNAMA