KUALA LUMPUR – Sebarang pelaksanaan sistem pendidikan berasaskan pendekatan cara fikir untuk membangunkan kreativiti dan inovasi termasuk pelaksanaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) disifatkan akan gagal disebabkan persekitaran semasa pendidikan negara.
Menurut pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad, pendidikan negara ketika ini masih lagi kukuh dalam ruang peperiksaan yang konvensional.
Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, selagi sistem pendidikan kukuh dalam persekitaran peperiksaan yang rigid, pelaksanaan KBAT akan terus berada dalam ruang ‘keterpaksaan’.
“Kreativiti dan inovasi yang ‘dipaksakan’ tidak akan menjadi budaya berfikir yang mengakar dalam diri anak-anak kita.
“Jadi, mana akan datangnya budaya kreatif, kritis, inovatif atau berfikir secara perspektif dalam persekitaran pembelajaran dan peperiksaan yang rigid?” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Menurut Anuar, pelajar di negara ini masih sangat bergantung kepada jawapan berskema sehingga mereka melangkah ke universiti.
Disebabkan itu, katanya, mereka tidak berani berfikir di luar kotak yang mana peperiksaan yang rigid telah ‘membunuh’ naluri kreativiti dan inovasi mereka.
Tambah beliau, pelajar yang cemerlang pula diukur berdasarkan jawapan di dalam peperiksaan yang tidak membenarkan mereka memberikan jawapan, selain apa yang telah ditentukan.
Jelasnya, jawapan selain daripada apa yang telah ditentukan adalah ‘jawapan yang salah’ walaupun sebenarnya jawapan tersebut mungkin sahaja betul dari perspektif yang berbeza.
“Sebab itu, kreativiti dan inovatif yang meraikan cubajaya yang mana gagal juga adalah satu proses pembelajaran tidak selari dengan amalan peperiksaan bertulis konvensional.
“Sebab itu jugalah, walaupun KBAT dan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah lama diperkenalkan, kita belum melihat budaya berfikir secara kreatif dan inovatif yang organik berkembang dalam pembelajaran,” katanya. – MalaysiaGazzete