Petugas SPR melakukan Persediaan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi semperna pilihan raya kecil dewan undangan N.20 Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang petisyen berkaitan kesalahan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, hanya kesalahan-kesalahan kecil melibatkan poster saja diterima setakat ini.

“Kes yang biasa atau kecil (iaitu) melibatkan kesalahan seperti poster diletakkan di tempat tidak sepatutnya tapi tidak timbul isu yang besar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Mengulas mengenai persiapan akhir SPR menjelang hari pengundian, Ikmalrudin berkata, semua proses bagi pengundian esok berjalan lancar.

“Ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan telah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

“Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi termasuklah peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan-peralatan melibatkan persiapan logistik.

“Kita juga ingin menasihatkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.

PRK Dun Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pilhan raya kecil kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast