NIBONG TEBAL – Polis telah merakamkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan petugas kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap melakukan gangguan seksual terhadap seorang wartawan dalam satu porgram di Sungai Kechil di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut.
“Suspek berusia 30-an itu direman selama dua hari bermula semalam dan tiga individu telah dipanggil bagi merakamkan kenyataan setakat ini.
“Siasatan sudah diperingkat akhir dan kita juga akan membuat kawad cam hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Petugas kempen berkelakuan tidak senonoh, KDN serah pada polis
Difahamkan, beberapa barangan peribadi suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Media semalam melaporkan polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang berhubung kes petugas kempen Pakatan Harapan (PH) didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pemberita yang sedang melakukan tugasan sempena PRK Sungai Bakap.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung insiden tersebut namun memberi jaminan siasatan dijalankan secara profesional. – MalaysiaGazette