Ahmad Daniel I'zzat menjadi sukarelawan Program Bantuan Kemanusiaan Ke Tanzania,  Afrika mewakili Pertubuhan Kebajikan Atta’awun Selangor baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Minat generasi muda dalam kerja kesukarelawan membabitkan pelbagai bidang sehingga merentasi sempadan negara bukan semua orang boleh lakukan.

Apatah lagi bergelar mahasiswa di universiti luar negara, jiwa dan semangatnya perlu ampuh untuk menabur bakti membantu golongan susah yang hidup melarat di negara miskin.

Bagi mahasiswa Universiti Yarmouk, Jordan, Ahmad Daniel I’zzat Jamaluddin, 24, menyifatkan dirinya beruntung dapat menyambung pengajian di negara Teluk itu untuk menerokai dunia luar sambil menimba pengalaman baharu.

Malah siapa sangka, empat tahun berada di sana, anak sulung daripada tiga beradik ini jatuh cinta dengan aktiviti sukarelawan di negara orang.

“Saya sudah terdedah dengan program sukarelawan kemanusiaan ketika belajar di Jordan selama empat tahun. Di sana, kami pelajar Malaysia dapat melihat keperitan mangsa kekejaman Israel yang sedang mencari perlindungan di kem-kem pelarian.

“Di sana juga terdapat  masyarakat dari negara bergolak seperti Syria mencari tempat untuk meneruskan kehidupan. Malah pernah mewakili persatuan pelajar di universiti dan kami sentiasa mengadakan aktiviti kemasyarakata khususnya semasa musim pelaksanaan ibadah korban,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau baru-baru ini turut menjadi sukarelawan Program Bantuan Kemanusiaan Ke Tanzania,  Afrika mewakili Pertubuhan Kebajikan Atta’awun Selangor untuk menunaikan ibadah korban di sana.

Ahmad Daniel I’zzat sudah terdedah dengan program sukarelawan kemanusiaan ketika belajar di Jordan selama empat tahun.

Ahmad Daniel I’zzat menambah, walaupun bukan kali pertama melakukan aktiviti sukarelawaan kemanusian di luar negara, hati pasti tersentuh dan hiba melihat penderitaan rakyat di sana yang hidup melarat.

Katanya, ini kerana suasana berebut sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan mereka yang ingin mendapatkan sumbangan daging korban untuk dijadikan hidangan yang sukar dinikmati sebelum ini akibat desakan hidup.

“Saya berasa tersentuh hati apabila hendak menyerahkan daging korban sebabnya mereka berebut untuk mendapatnya tidak kira usia muda hingga ke tua.

“Malah ketika saya ingin memberikan satu roti, mereka sanggup berebut di kalangan lima orang. Cukup sedih apabila kita dapoat melihat sendiri betapa berjuan mereka bertahan demi kelangsungan hidup.

“Malah saya juga mendapat pengalaman menarik apabila dapat berinteraksi sendiri dengan penternak kambing di sana oleh suku kaum Masaii yang tinggal di Morogoro, Tanzania,” katanya.

Ahmad Daniel I’zzat turut mengakui melalui aktiviti sukarelawan, mahasiswa dapat meluaskan jaringan sosial, baik dalam kalangan mahasiswa sendiri, komuniti atau pihak industri berpotensi.

Apatah lagi, dalam cabaran persaingan ekonomi, graduan dengan nilai kompetitif dan berdaya saing menjadi pilihan majikan dan organisasi.

Oleh itu kata anak muda ini, mahasiswa perlu bijak menyeimbangkan antara tuntutan kecemerlangan akademik dengan pengalaman kepemimpinan menerusi aktiviti kemasyarakat tidak kira sama ada di dalam atau luar negara. – MalaysiaGazette

Program Bantuan Kemanusian Ibadah Qurban 1445H/ 2024 disertai Da’ei Aiman dan juga seorang sukarelawan, Ahmad Daniel I’zzat Jamaluddin yang mewakili PKAS.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast